MUHAMAD AQIL ARYAN BIN MOHD FIRDAUS SK SERI SAMUDERA
ABSTRAK
Topik Masa dan Waktu merupakan topik pertama dalam bidang sukatan dan geometri. Topik ini memerlukan kemahiran matematik yang lebih tinggi berbanding topik nombor dan operasi kerana ianya melibatkan perkaitan antara dua unit yang berbeza. Pemahaman murid mengenai masa dan waktu sering dijadikan bahan kajian dan dikatakan sebagai tajuk yang kontroversi (Gloria, 2019). S2MIN merupakan satu inovasi alat bantu mengajar Matematik yang dibangunkan bagi membantu murid Tahun 5 memahami konsep penukaran pecahan jam kepada minit secara visual, mudah dan menyeronokkan. Inovasi ini berbentuk cakera berputar dengan pecahan jam seperti 1/2
, 1/3, 1/4, 1/5, 1/6, 1/10, dan 1/12. Setiap pecahan mewakili bahagian masa tertentu daripada 60 minit dan ditunjukkan secara konkrit menggunakan segmen berwarna dan nilai minit yang setara. Melalui pendekatan manipulatif ini, murid dapat melihat dan memadankan pecahan jam dengan nilai minit secara langsung. Selain meningkatkan pemahaman konsep, S2MIN juga menggalakkan pembelajaran secara aktif dan kendiri. Ia turut dilengkapi dengan jam analog dan kad soalan untuk mengukuhkan pemahaman serta menilai kefahaman murid. S2MIN direka berdasarkan pendekatan pembelajaran visual dan kinestetik, sejajar dengan keperluan murid abad ke-21. Alat ini sesuai digunakan dalam aktiviti kumpulan, kuiz, ulang kaji mahupun bimbingan khas murid-murid lemah. Kajian awal penggunaan menunjukkan peningkatan kefahaman dan minat murid terhadap topik masa. Kajian ini jelas menunjukkan bahawa murid-murid seronok menggunakan alat S2MIN dengan mudah serta dapat membantu mereka untuk mengira dengan pantas. Perasaan minat dan seronok belajar yang timbul di dalam diri mereka itu secara tidak langsung akan memudahkan mereka mengingati apa yang dipelajari. Secara keseluruhannya, S2MIN bukan sahaja membantu murid menukar pecahan jam kepada minit dengan lebih mudah, malah meningkatkan motivasi murid dan seterusnya menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan dan bermakna.
Kata Kunci : Penukaran unit, Pecahan, Jam, Minit, Minat, Seronok, Pantas, Mudah