MUHAMMAD ILMAN BIN MOHD HAFIZAN SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAMAN KERAMAT
Inovasi MinuKraf merupakan satu inisiatif kreatif mengitar semula sisa kotak minuman Tetra Pak menjadi barangan kraf dan cenderahati harian seperti pen, rantai kunci, dan pasu mini. Projek ini dijalankan bagi menangani lambakan sisa Tetra Pak di tapak pelupusan yang sukar mereput dan memerlukan kos kitar semula yang tinggi disebabkan oleh lapisan campuran plastik dan aluminium. Tujuan utama projek ini adalah untuk mengurangkan sisa buangan dengan menukarkannya kepada produk harian bernilai estetik dan komersial. Dari segi alat dan bahan, sisa kotak Tetra Pak digabungkan dengan resin epoksi dan ejen pengeras bagi menghasilkan struktur produk yang keras, kuat, serta tahan lama. Data menunjukkan produk ini mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelajar dan orang awam atas faktor fungsi serta harga yang berpatutan. Inovasi ini memberikan impak positif kepada persekitaran dengan mengurangkan longgokan sampah dan gas metana, manakala impak ekonominya membuka peluang pendapatan baharu bagi usahawan mikro. MinuKraf menyokong penuh Matlamat Pembangunan Mampan Ke-12 (SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) khususnya sasaran 12.5 untuk mengurangkan penjanaan sisa menerusi pencegahan dan penggunaan semula. Kesimpulannya, inovasi ini bukan sahaja menjadi solusi kreatif kepada isu sisa global, malah berjaya memupuk kesedaran alam sekitar, kreativiti, serta minda keusahawanan dan inovasi dalam kalangan pelajar.