WIDAD BINTI AZWA KOLEJ VOKASIONAL GERIK
ArtoSeed Tart merupakan inovasi produk pastri yang dibangunkan berasaskan konsep sifar pembaziran (zero waste)dengan memanfaatkan hampir keseluruhan buah nangka. Produk ini menggunakan tepung biji nangka sebagai bahan utama dalam penyediaan kulit tart, manakala isi dan jerami nangka diproses sebagai inti yang beraroma dan berkhasiat. Inovasi ini dihasilkan bagi menangani isu pembaziran sisa makanan serta meningkatkan nilai tambah bahagian buah nangka yang lazimnya tidak dimanfaatkan, di samping menghasilkan produk makanan yang berkualiti dan berpotensi untuk dikomersialkan.
Proses pembangunan melibatkan penyediaan beberapa resepi produk, penilaian ciri fizikal seperti warna, aroma, tekstur dan rasa, diikuti ujian sensori bagi menilai tahap penerimaan pengguna. Maklum balas yang diperoleh digunakan untuk menambah baik formulasi serta menilai potensi pengkomersialan produk dari aspek kos, pembungkusan dan penerimaan pasaran.
Hasil pembangunan menunjukkan ArtoSeed Tart berpotensi menjadi alternatif pastri yang unik, berkhasiat dan mesra alam dengan memanfaatkan sumber tempatan secara optimum. Produk ini bukan sahaja menyokong amalan kelestarian dan pengurangan sisa makanan, malah meningkatkan nilai ekonomi hasil pertanian tempatan serta membuka peluang keusahawanan dalam industri makanan. Oleh itu, ArtoSeed Tart berpotensi menjadi produk inovasi yang mampu memenuhi permintaan pengguna terhadap makanan lestari dan mempunyai daya saing tinggi dalam pasaran.