DARSHITA A/P NAVEN SJKT SUNGKAI
Inovasi Flexi Table dibangunkan bertujuan untuk menangani isu murid -murid yang tidak menguasai operasi darab serta sukar menghafal sifir 2 hingga 9. Masalah ini menyebabkan murid hilang minat, keliru antara konsep tambah dan darab, serta bosan dengan kaedah pengajaran tradisional yang hanya menekankan hafalan semata-mata. Objektif utama inovasi ini adalah untuk meningkatkan kemahiran menyelesaikan ayat matematik darab bagi nombor sehingga empat digit menggunakan teknik yang mudah serta membina motivasi guru dan murid melalui pendekatan kreatif. Sebagai penyelesaian, Flexi Table dicipta menggunakan bahan kitar semula seperti kotak susu dan riben berwarna-warni yang berfungsi secara maujud untuk menarik minat murid. Penggunaannya sangat ringkas di mana murid hanya perlu menarik riben mengikut sifir tertentu untuk mendapatkan jawapan yang tepat dengan pantas. Impak inovasi ini menunjukkan peningkatan ketara dalam keyakinan diri murid, suasana pembelajaran yang menyeronokkan tanpa paksaan menghafal, serta membantu murid menguasai kemahiran dalam masa yang singkat. Guru juga menjadi lebih inovatif dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran agar tiada murid yang tercicir. Kesimpulannya, melalui dapatan ujian pra dan pos, Flexi Table terbukti berkesan sebagai alat intervensi yang transformatif dalam memperkukuh asas matematik murid secara aktif dan efisien.