MUHAMMAD AFIQ IRFAN BIN KHAIRUDDIN SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN ROMPIN PERMAI
Kajian ini memperkenalkan GeoSprint, iaitu sebuah aplikasi pembelajaran interaktif yang menggabungkan nota dan kuiz bagi mata pelajaran Geografi Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Aplikasi ini dibangunkan bagi membantu pelajar meningkatkan penguasaan kandungan Geografi serta prestasi dalam menjawab Kertas 1 Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Seramai 34 orang pelajar Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Rompin Permai yang bakal menduduki peperiksaan percubaan SPM telah menggunakan aplikasi ini sebagai bahan sokongan pembelajaran. Keberkesanan GeoSprint dinilai melalui perbandingan pencapaian pelajar dalam peperiksaan pertengahan tahun dengan peperiksaan percubaan SPM selepas penggunaan aplikasi. Hasil kajian menunjukkan berlaku peningkatan yang ketara dalam markah peperiksaan percubaan berbanding peperiksaan pertengahan tahun. Dapatan ini menunjukkan bahawa penggunaan GeoSprint berpotensi meningkatkan pencapaian akademik pelajar, khususnya dalam Kertas 1 Geografi SPM, di samping mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif, menarik dan berkesan.