IZZ HAYYFA BINTI MOHD IZWAN SEKOLAH KEBANGSAAN AYER MOLEK
i-Num2Text adalah “Intelligent Number-to-Text Conversion”. i-Num2Text merupakan satu cara pembelajaran yang inovatif dalam meningkatkan pemahaman murid pemulihan tahun dua dalam memahami cara pertukaran nombor kepada teks dan sebaliknya di sekolah rendah. Inovasi ini tidak hanya bertujuan untuk meningkatkan pemahaman murid, tetapi juga dapat membantu guru dalam meningkatkan amalan pedagogi mereka dalam pengajaran dan pembelajaran cara pertukaran nombor kepada teks dan sebaliknya dengan mudah dan cepat. Dalam kajian ini, seramai 10 orang murid pemulihan Tahun dua dari Sekolah Kebangsaan Ayer Molek pada tahun 2025 telah dipilih, yang terdiri daripada enam murid perempuan dan empat murid lelaki. Masalah yang dihadapi oleh murid-murid ini adalah kesukaran dalam menentu dan menukarkan nombor kepada teks dan sebaliknya walaupun mereka telah diberi latihan menggunakan kaedah tradisional. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk melihat kesan pengenalan kaedah baru ini terhadap pemahaman murid. Kesemua data dikumpulkan melalui pemerhatian, ujian diagnostik dan soal selidik sebelum dianalisis secara deskriptif. Hasil analisis menunjukkan bahawa inovasi ini dapat merangsang pemikiran kreatif, kritis, dan inovatif murid-murid melalui elemen kreativiti yang diperkenalkan. Pelaksanaan inovasi ini juga memberikan impak positif terhadap peningkatan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan murid, selain memastikan isi kandungan pembelajaran dapat dikuasai. Ini menunjukkan bahawa pendekatan baru inovasi Num2Text tidak hanya memberikan alternatif yang berkesan dalam pengajaran, tetapi juga dapat memperkaya pengalaman pembelajaran murid dan meningkatkan prestasi mereka dalam topik yang rumit seperti kenali nombor dan tulis nombor dalam perkataan dan sebaliknya.