SITI NAZIHAH IRDINA BINTI RAMLI KOLEJ VOKASIONAL GERIK
Peelicious Floss merupakan inovasi produk serunding berasaskan kulit pisang yang dibangunkan bagi memanfaatkan sisa makanan kepada produk bernilai tambah, berkhasiat dan berpotensi untuk dikomersialkan. Penghasilan produk ini bertujuan mengatasi isu pembaziran kulit pisang yang lazimnya dibuang walaupun mengandungi serat, antioksidan dan mineral yang bermanfaat. Objektif kajian adalah untuk menghasilkan serunding kulit pisang yang mempunyai rasa, tekstur dan aroma yang menarik, mengurangkan pembaziran sisa makanan melalui penggunaan kulit pisang sebagai bahan mentah, serta membangunkan produk yang berkualiti dan berpotensi dipasarkan.
Dalam proses penghasilan, kulit pisang dibersihkan, direbus dan diproses bersama rempah-ratus terpilih sehingga menghasilkan tekstur menyerupai serunding tradisional. Penilaian produk dilaksanakan melalui ujian sensori bagi menilai aspek rasa, aroma, tekstur, warna dan penerimaan pengguna sebelum penambahbaikan akhir dilakukan.
Hasil pembangunan menunjukkan Peelicious Floss berpotensi menjadi alternatif serunding berasaskan tumbuhan yang kaya dengan serat, mesra alam serta menyokong konsep ekonomi kitaran melalui penggunaan semula sisa makanan. Produk ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna dari aspek pemakanan, malah berupaya meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, mengurangkan sisa organik dan membuka peluang keusahawanan dalam industri makanan. Oleh itu, Peelicious Floss berpotensi menjadi produk inovasi yang memenuhi keperluan pasaran terhadap makanan lestari dan bernilai komersial.