MUHAMMAD RAYYAN HAKIMI BIN MOHD SYAH RIEZAL SEKOLAH KEBANGSAAN PORT DICKSON
Jejak Pahlawan Cilik: Misi Matematik Menentang Penjajah ialah inovasi pembelajaran digital yang dibangunkan untuk meningkatkan minat murid sekolah rendah terhadap Matematik melalui pendekatan gamifikasi dan penceritaan sejarah tempatan. Kuiz matematik berunsurkan gamifikasi ini dibangunkan bagi mengatasi masalah murid yang kurang berminat terhadap Matematik serta kurang mengenali sejarah perjuangan tokoh tempatan seperti Mat Kilau. Permainan ini dibangunkan menggunakan aplikasi Genially dan Canva tanpa memerlukan pengekodan, serta mengandungi tiga tahap permainan iaitu mudah, sederhana dan sukar dengan mengandungi 12 soalan Matematik yang disepadukan dalam jalan cerita pengembaraan. Hasil penilaian menunjukkan bahawa 92% murid bersetuju permainan yang dibangunkan menarik dan interaktif, manakala 80% murid menyatakan permainan ini membantu meningkatkan pengetahuan mereka tentang sejarah, khususnya kisah perjuangan Mat Kilau. Selain itu, murid menunjukkan tahap penglibatan dan motivasi yang lebih tinggi semasa melakukan latihan matematik. Secara keseluruhannya, inovasi ini berjaya mewujudkan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan, interaktif dan bermakna melalui pengintegrasian Matematik, sejarah dan teknologi digital. Inovasi ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4: Pendidikan Berkualiti) dengan menyediakan pendekatan pembelajaran yang inovatif, berpusatkan murid dan mampu meningkatkan kualiti pengajaran serta pembelajaran di sekolah rendah.
Kata kunci: Gamifikasi, Matematik, Sejarah Tempatan, Pembelajaran Digital, Game-Based Learning, SDG 4.