ELEONORITHA GHARITH STEPHENSON KOLEJ VOKASIONAL MIRI
Inovasi MySpeedometer dibangunkan khusus untuk sasaran pelajar iaitu 24 orang pelajar Semester 4 program Pemesinan Industri (MPI) KV Miri bagi subjek Matematik A03401. Objektif utama projek ini adalah untuk meningkatkan kefahaman konseptual mereka dalam topik Graf Laju-Masa serta melonjakkan prestasi akademik mereka. Sebelum intervensi, ujian pra pada 11 November 2025 mencatatkan purata markah kritikal iaitu 36% kerana pelajar sukar melukis graf dan keliru dengan konsep gerakan.
Bagi mencapai objektif tersebut, projek ini dilaksanakan berpandukan Teori Pembelajaran Kontekstual, iaitu menghubungkan konsep matematik yang abstrak dengan pengalaman harian melalui analogi meter kenderaan (speedometer). Kaedah hibrid telah digunakan melalui pertandingan fizikal kumpulan di Dewan Makan (8 Disember 2025) dan diikuti dengan ujian pos digital menggunakan Google Forms sewaktu PdPR banjir (9 Disember 2025).
Hasilnya, impak besar berjaya dicapai. Analisis rasmi pada 5 Mei 2026 membuktikan nilai gred purata subjek meningkat sebanyak 0.73, iaitu lonjakan kepada PNG 3.03. Secara keseluruhan, inovasi ini membantu mengekalkan 100% kelulusan, menaikkan PNGK program kepada 3.1, serta melahirkan 13 orang pelajar cemerlang (A/A-). Melalui kejayaan ini, projek MySpeedometer secara langsung menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4: Pendidikan Berkualiti) dengan menyediakan teknik pembelajaran yang mudah, inklusif, dan berkesan bagi pelajar vokasional.
Kata Kunci: MySpeedometer, Sasaran Pelajar MPI, Graf Laju-Masa, Teori Pembelajaran Kontekstual, SDG 4 (Pendidikan Berkualiti).