AISYA FADHILA BINTI MOHAMED FUAD SEKOLAH MENENGAH SAINS MUAR
Penguasaan tatabahasa Arab, khususnya Fi'il Amar (kata kerja perintah), sering dianggap mencabar oleh para pelajar kerana kerumitan dalam pembentukan tasrif dan penggunaannya yang tepat dalam ayat. Amar Poison Box merupakan satu inovasi bahan bantu mengajar berasaskan permainan (game-based learning) yang digabungkan dengan pendekatan audio-visual melalui lagu khas Fi'il Amar untuk menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan, dinamik, dan berkesan.
Inovasi ini berkonsepkan "kotak misteri" di mana pelajar perlu mengambil kad tugasan secara rawak daripada Amar Poison Box dan menjawab soalan yang tertera pada kad tersebut dengan kadar segera. Bagi memudahkan proses ingatan, inovasi ini turut menyertakan sebuah lagu berirama yang merangkumkan formula tasrif Fi'il Amar. Penggabungan elemen mekanikal permainan dan elemen muzik ini membantu pelajar mengimbas kembali (recall) formula yang telah dihafal dengan lebih pantas.
Objektif utama penghasilan Amar Poison Box adalah untuk mengukuhkan kemahiran penggunaan Fi'il Amar iaitu membantu pelajar membina ayat perintah yang gramatis dan tepat mengikut situasi melalui latihan pantas. Selain itu, memudahkan hafalan tasrif Fi'il Amar iaitu menggunakan pendekatan lagu (muzik) sebagai mnemonic device yang terbukti berkesan bagi membantu pelajar menghafal perubahan bentuk Fi'il Amar dengan lebih cepat dan tahan lama.
Hasil daripada penggunaan inovasi ini, pelajar didapati lebih bermotivasi untuk melibatkan diri secara aktif di dalam kelas, sekali gus meningkatkan penguasaan tatabahasa Arab secara tidak langsung. Amar Poison Box terbukti sebagai satu solusi kreatif yang mampu mentransformasikan persepsi pelajar terhadap subjek Bahasa Arab daripada yang sukar kepada satu bidang yang menyeronokkan dan mudah diingati.
Kata Kunci: Fi'il Amar, Bahasa Arab, Pembelajaran Interaktif, Amar Poison Box, Tasrif, Strategi Lagu.