INTAN ZAHRATUL SHAZLEEN BINTI SAHILI SMK PUSING
Pada masa kini, lambakan sisa plastik daripada bekas makanan menjadi isu serius yang memberi kesan negatif terhadap alam sekitar dan menyumbang kepada pencemaran serta perubahan iklim. Kebanyakan bekas plastik ini berakhir di tapak pelupusan sampah walaupun masih boleh dikitar semula atau digunakan semula. Sehubungan itu, satu inovasi telah dihasilkan bagi mengurangkan pembaziran dan meningkatkan kesedaran terhadap penggunaan semula bahan terbuang iaitu Foldy Sajina, sebuah tudung saji moden berkonsepkan minimalis, mesra pengguna dan mesra alam. Produk ini dihasilkan dengan menggunakan semula penutup bekas plastik makanan yang telah dibersihkan, dipotong dan dicantumkan mengikut konsep kipas yang boleh dilipat. Kaedah penghasilan Foldy Sajina melibatkan proses menyambung dan memotong penutup plastik mengikut ukuran yang ditetapkan, diikuti lapisan kain batik di bahagian luar untuk nilai estetika dan penampalan bahagian dalam dengan kepingan aluminium sebagai bahan penebat haba. Seterusnya, bahagian hujung disambung menggunakan zap velcro dan disusun membentuk struktur boleh lipat. Sebagai penambahbaikan, mentol pemanas mudah alih dipasang di bahagian dalam tudung saji untuk mengekalkan suhu makanan. Reka bentuk Foldy Sajina yang nipis, ringan dan boleh dilipat menjadikannya mudah disimpan dan dibawa ke mana sahaja, berbanding tudung saji tradisional yang besar dan memakan ruang. Gabungan elemen penebat haba dan pemanas menjadikan produk ini lebih praktikal dan mampu membantu menjimatkan tenaga elektrik kerana makanan tidak perlu dipanaskan semula. Inovasi ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab, khususnya Sasaran 12.5 iaitu mengurangkan penjanaan sisa melalui pencegahan, pengurangan, kitar semula dan guna semula. Foldy Sajina diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat dalam mengamalkan gaya hidup lebih lestari dan inovatif ke arah kelestarian alam sekitar.