MUHAMMAD QAYYUM FAKHRUSY SYAQQIRIN BIN AMAN SAH SMK GEMAS
Kajian tindakan ini bertujuan menilai keberkesanan TaxVerse AI: Misi Hero Cukai, iaitu inovasi gamifikasi digital yang dibangunkan menggunakan Canva Code dengan integrasi Generative AI bagi meningkatkan penguasaan murid terhadap pengiraan cukai pendapatan dalam topik Matematik Pengguna: Percukaian. Kajian ini dilaksanakan berikutan murid didapati sukar menguasai konsep pendapatan tahunan, pelepasan cukai, pendapatan bercukai serta prosedur pengiraan cukai melalui pendekatan pengajaran konvensional. TaxVerse AI dibangunkan dengan menggabungkan elemen gamifikasi seperti Junior Level, misi berperingkat, Bonus Maze, sistem XP, lencana pencapaian, sijil digital dan chatbot AI “Tanya Cg Naz” yang berfungsi sebagai pembantu pembelajaran pintar untuk memberikan bimbingan dan maklum balas secara masa nyata. Kajian melibatkan 30 orang murid Tingkatan 5 menggunakan instrumen ujian pra dan pasca, pemerhatian serta soal selidik. Dapatan menunjukkan peningkatan dalam penguasaan konsep, motivasi, keyakinan dan penglibatan aktif murid sepanjang PdPc. Penggunaan Canva Code membolehkan guru membangunkan aplikasi pembelajaran secara kreatif tanpa pengaturcaraan yang kompleks, manakala Generative AI menyokong pembelajaran kendiri yang lebih fleksibel dan diperibadikan. Kajian ini membuktikan bahawa integrasi Canva Code dan Generative AI berpotensi memperkasa amalan PdPc abad ke-21 serta menyokong aspirasi pendidikan digital dalam melahirkan murid yang lebih aktif, yakin dan bermakna dalam pembelajaran.