MUHAMMAD ISYRAF FIRDAUS BIN HASSIM UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
ABSTRAK
Perkembangan teknologi digital dalam pendidikan menuntut penyediaan bahan pembelajaran yang lebih interaktif, namun kebanyakan nota bakeri dan konfeksioneri masih disampaikan dalam bentuk konvensional yang kurang menarik, sukar diakses dan tidak menggalakkan pembelajaran kendiri. Keadaan ini menyebabkan pelajar menghadapi kesukaran memahami konsep, prosedur dan langkah amali secara sistematik. Justeru, Bakefect dibangunkan sebagai Nota Digital Interaktif Bakeri dan Konfeksioneri yang bertujuan menyediakan bahan pembelajaran digital yang lebih menarik, mudah difahami dan mudah diakses selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21. Produk ini dibangunkan sepenuhnya dalam bentuk digital dengan menggabungkan variasi warna, kepelbagaian reka bentuk paparan, ilustrasi, infografik dan susun atur mesra pengguna. Kandungannya disusun berdasarkan silibus kursus Ekonomi Rumah Tangga (ERT) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta mengandungi penerangan dan langkah-langkah amali yang jelas, sistematik dan diadaptasi daripada situasi sebenar.
Pembangunan Bakefect menggunakan pendekatan reka bentuk dan pembangunan (Design and Development) yang melibatkan proses analisis keperluan, reka bentuk kandungan, pembangunan produk digital serta semakan kandungan bagi memastikan kesesuaian dengan hasil pembelajaran kursus. Produk ini disasarkan kepada pelajar sekolah menengah yang mengikuti bidang TVET, pelajar subjek ERT serta pelajar institusi pengajian tinggi sebagai bahan rujukan ilmiah dalam bentuk digital.
Dapatan awal menunjukkan Bakefect berupaya meningkatkan daya tarikan pembelajaran melalui persembahan visual yang interaktif, memudahkan pengguna memahami kandungan bakeri dan konfeksioneri serta menyokong pembelajaran fleksibel kerana boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana menggunakan peranti digital. Selain itu, penyampaian kandungan yang tersusun dan langkah amali yang jelas membantu pengguna menguasai pengetahuan dan kemahiran dengan lebih berkesan.
Kesimpulannya, Bakefect merupakan inovasi pendidikan digital yang berpotensi meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bidang bakeri dan konfeksioneri. Produk ini bukan sahaja menjadi alternatif kepada nota konvensional, malah menyokong transformasi pendidikan digital melalui penyediaan bahan pembelajaran yang interaktif, mudah diakses dan memenuhi keperluan pelbagai peringkat pengguna.
Kata kunci: Bakefect, nota digital interaktif, bakeri dan konfeksioneri, Ekonomi Rumah Tangga, TVET, pembelajaran digital.