ZAMMEL BIN ZULKEFALI SM SAINS KEPALA BATAS, PULAU PINANG
ORENPURE merupakan inovasi sabun pencuci tangan bio-enzim yang dihasilkan daripada sisa kulit oren bagi mengurangkan lambakan sisa organik serta menyokong amalan Teknologi Hijau dan ekonomi kitaran. Projek ini dibangunkan menggunakan pendekatan Engineering Design Process (EDP) yang merangkumi enam fasa, iaitu Ask, Imagine, Plan, Create, Test dan Improve. Bio-enzim dihasilkan melalui proses fermentasi menggunakan nisbah 3:1:10(kulit oren:gula perang:air) sebelum diformulasikan sebagai sabun pencuci tangan mesra alam. Keberkesanan produk dinilai melalui ujian pH, kuasa cuci, kestabilan buih serta maklum balas pengguna. Hasil kajian menunjukkan ORENPURE mempunyai nilai pH 6 yang mesra kulit, berkesan menanggalkan minyak dan kotoran, serta menghasilkan kestabilan buih yang sesuai untuk kegunaan harian. Soal selidik terhadap 73 responden mendapati 87.7% menyokong penggunaan sabun semula jadi, 63% berpendapat pengurusan sisa makanan perlu dipertingkatkan, manakala 43.8%pernah mengalami masalah kulit kering akibat penggunaan sabun komersial. Inovasi ini bukan sahaja mengurangkan sisa kulit oren melalui konsep Waste-to-Wealth, malah meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 12 dan SDG 13). ORENPURE berpotensi dikembangkan sebagai produk komuniti yang selamat, lestari, mampu milik dan berpotensi untuk dikomersialkan.
Kata kunci: ORENPURE, bio-enzim, kulit oren, Teknologi Hijau, Waste-to-Wealth, Engineering Design Process (EDP), SDG 12, SDG 13.