Muhammad Amsyar Hadi Bin Akmal Zulkhairi Kolej Vokasional Pasir Gudang
Projek inovasi Recycle Marine Filler menggunakan resin yang sudah mengeras ini dijalankan untuk mengkaji potensi sisa resin pepejal sebagai bahan pengisi (filler) alternatif dalam industri pembuatan dan pembaikan marin. Masalah utama dalam industri komposit ialah penghasilan sisa resin yang telah mengeras akibat lebihan bancuhan atau tamat tempoh, yang mana sisa ini sukar dilupuskan dan mencemarkan alam sekitar. Selain itu, kos bahan pengisi komersial sedia ada bagi aplikasi marin adalah agak mahal. Oleh itu, objektif utama projek ini adalah untuk mengitar semula sisa resin keras tersebut dengan menghancurkannya menjadi serbuk halus untuk dijadikan ejen pengisi baharu. Metodologi kajian melibatkan proses pengisaran sisa resin, pengayakan mengikut saiz mikron tertentu, dan pembancuhan semula bersama resin baharu untuk menghasilkan pengisi marin (marine filler). Sampel inovasi ini diuji melalui ujian kekuatan mampatan. Hasil kajian awal menunjukkan bahawa formula pengisi daripada sisa resin ini mampu memberikan tahap kekuatan yang baik dengan membandingkan filler yang sedia ada di industry. Kesimpulannya, inovasi ini bukan sahaja mengurangkan lambakan sisa kimia industri komposit, malah menghasilkan produk pembaikan marin yang lebih ekonomik dan berprestasi tinggi.