Nurul Syahirah Binti Refe'at Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM)
Sifat bahasa yang dinamik dan berkembang mengikut perubahan zaman menjadikan pelajar sekolah sukar untuk menanggapi dan memahami Bahasa Melayu hari ini. Ini jelas terlihat melalui prestasi pelajar terutamanya pelajar Cina yang mengambil ujian lisan tingkatan 5. Justeru, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti kekangan linguistik yang dihadapi oleh pelajar Cina dan seterusnya menganalisis strategi pembelajaran Bahasa Melayu yang digunakan oleh pelajar Cina ini sebagai persediaan ujian lisan tingkatan 5. Kajian ini mengaplikasikan pendekatan kualitatif deskriptif sebagai reka bentuk utama. Seramai 10 orang guru berpengalaman dari tiga buah sekolah menengah di daerah Batu Pahat telah dipilih sebagai informan kajian, manakala kaedah tinjauan (soal selidik) bersepadu yang dibina menggunakan skala Likert 5 mata digunakan sebagai data sokongan. Data yang diperoleh dianalisis dengan menggunakan perisian komputer Statistical Packages for Social Sciences (SPSS) version 22.0 untuk mendapatkan data deskriptif kuantitatif, manakala data temu bual ditranskripsikan secara kualitatif.
Hasil kajian ini menemukan empat jenis kesilapan bunyi, pengguguran bunyi dan kesilapan gramatikal. Sehubungan dengan itu, kajian ini berjaya menghasilkan inovasi bernama E-Modul Efektif 2026 (E-MOLE26) yang berfungsi sebagai bahan sokongan utama untuk membantu pelajar bukan Melayu menguasai kemahiran lisan Bahasa Melayu dengan lebih berkesan. Kajian ini memberi ruang kepada pihak berkepentingan untuk merangka pendekatan yang lebih komprehensif bagi mengatasi kelemahan lisan Bahasa Melayu pelajar bukan Melayu. Kepentingan penguasaan lisan Bahasa Melayu tidak boleh dipandang ringan kerana bahasa ini bukan sahaja berfungsi sebagai medium komunikasi utama, malah menjadi faktor penentu kejayaan mereka dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, terutamanya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kata Kunci: Pelajar Cina; lisan; Bahasa Melayu; kekangan linguistik; Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); E-Modul Efektif 2026 (E-MOLE26).