HASSRINA BINTI HASSAN BASRI SK METHODIST
SMART AssetTrack ialah satu inovasi dashboard Sistem Pengurusan dan Pemantauan Aset Sekolah Secara Digital yang dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan aset sekolah melalui penggunaan teknologi berasaskan awan. Inovasi ini tercetus apabila SK Methodist disyorkan untuk diroboh dan dibina semula atas faktor keselamatan dan semua aset sekolah perlu diuruskan dalam tempoh yang singkat. Sebelum ini, pengurusan aset dilaksanakan sepenuhnya menggunakan borang bercetak, senarai semak di atas kertas dan fail fizikal. Setiap aset direkod secara manual, disemak satu persatu dan dikemas kini menggunakan helaian kertas dan ditaip semula ke Ms Word. Kaedah ini mengambil masa yang lama, memerlukan tenaga kerja yang ramai, berisiko berlaku kehilangan rekod serta menyukarkan penyediaan laporan yang tepat. Bagi mengatasi masalah tersebut, SMART AssetTrack dibangunkan menggunakan Google Forms, Google Sheets dan Looker Studio bagi membolehkan data aset direkod, dikemas kini dan dipantau secara masa nyata. Dashboard interaktif turut dibangunkan bagi memaparkan statistik aset mengikut kategori, lokasi dan status pemindahan. Pelaksanaan inovasi ini berjaya mempercepatkan proses pengurusan aset sekolah, meningkatkan ketepatan data, mengurangkan penggunaan kertas dan memudahkan penyediaan laporan kepada pihak pengurusan. SMART AssetTrack mempunyai potensi besar untuk diperluaskan ke sekolah lain kerana kos pembangunannya rendah, mudah digunakan dan tidak memerlukan pembelian perisian khas.