MUHAMMAD SHAFYZAL RAMADAN BIN MOHD SYAFIEE SM PENDIDIKAN KHAS VOKASIONAL INDAHPURA
Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) merupakan medium utama komunikasi dalam kalangan komuniti pekak di Malaysia. Dalam bidang Pendidikan Khas, khususnya kursus Dandanan Rambut, kekurangan terminologi khusus dalam BIM menimbulkan kekeliruan dan menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Isu ini menjadi penghalang kepada keberkesanan komunikasi antara guru dan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) kategori kurang upaya pendengaran.
Bagi menangani cabaran ini, inovasi Manual Isyarat Pendandan OKU (MIPOKU) telah dibangunkan sebagai satu modul komunikasi visual khusus untuk bidang dandanan rambut. Objektif inovasi ini adalah untuk membangunkan modul BIM khusus dalam bidang tersebut, memudahkan komunikasi dan pemahaman murid, serta membuka mata masyarakat dan majikan tentang keupayaan komuniti OKU. MIPOKU merangkumi manual bercetak, gegantung interaktif dan aplikasi mudah alih Android yang membolehkan pengguna mengakses isyarat dengan mudah dan efektif.
Melalui penggunaan MIPOKU, guru dapat menyampaikan arahan dengan lebih jelas, manakala murid menunjukkan peningkatan dari segi keyakinan, pemahaman istilah, dan prestasi kemahiran. Majikan turut menunjukkan minat terhadap MIPOKU, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran MBPK dalam industri dandanan rambut. Inovasi ini berjaya mengatasi kekangan komunikasi dan telah terbukti berkesan dalam meningkatkan penempatan kerjaya murid selepas tamat persekolahan.
Kesimpulannya, MIPOKU bukan sekadar bahan bantu mengajar, malah satu bentuk pemerkasaan kepada komuniti kurang upaya pendengaran. Ia berpotensi disebarluaskan dalam industri dandanan rambut seluruh negara serta menjadi model inovasi inklusif yang menyumbang kepada pendidikan dan pembangunan sosial masyarakat OKU secara menyeluruh.