LAU TIONG XIANG SMK Deshon
Live Scoring Game (LSG) merupakan satu inovasi pengajaran berasaskan gamifikasi masa nyata yang dibangunkan khusus untuk meningkatkan penglibatan aktif, akauntabiliti pelajar dan keupayaan guru membuat pemantauan semasa aktiviti pembelajaran kumpulan. Aplikasi ini dibangunkan oleh pengkaji sendiri menggunakan teknologi HTML, CSS dan JavaScript, dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) untuk menyesuaikan reka bentuk kepada keperluan bilik darjah vokasional. LSG menampilkan ciri unik seperti roda ganjaran digital, sistem skor kumpulan berstrategi, serta papan markah masa nyata yang dapat dipaparkan di skrin kepada semua pelajar. Versi Super VIP aplikasi ini turut menyokong penjanaan data skor yang boleh dieksport ke fail Excel, membolehkan guru membuat analisis penglibatan pelajar, mengenal pasti pelajar pasif, serta merancang tindakan susulan dan refleksi PdP dengan lebih sistematik.
Pelaksanaan inovasi ini dijalankan dalam kalangan pelajar Sijil Vokasional Malaysia (SVM) bagi topik Mencari Punca Persamaan Kuadratik, dan telah menunjukkan peningkatan ketara dari segi motivasi, penyertaan dan pencapaian pelajar. Keaslian reka bentuk, kos sifar pembangunan, serta keberkesanan intervensi menjadikan LSG sebagai satu model inovasi digital bilik darjah yang boleh diperluaskan penggunaannya dalam pelbagai subjek dan institusi.