FATIHAH INSYIRAH BINTI MOHD HAIRUL SK PASANGAN
Projek ini berfokuskan kepada penerapan dan pemahaman tentang konsep perubahan bentuk tenaga dalam kehidupan harian. Projek pembinaan model rumah pintar ini dipilih sebagai kerangka utama Pembelajaran Berasaskan Projek yang melibatkan kolaborasi empat mata pelajaran iaitu Sains, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Matematik dan Bahasa Melayu.
Pemilihan tajuk Rumah Pintar ini amat bersesuaian dengan aspirasi negara dalam menjimatkan penggunaan tenaga dan meningkatkan kesedaran terhadap teknologi hijau. Melalui projek ini, murid membina sebuah model rumah pintar yang lengkap dengan sistem litar mini solar, sistem sensor dan sistem kawalan automatik. Model ini juga menampilkan susun atur rumah mengikut ukuran berskala serta persembahan projek secara lisan dan bertulis oleh murid.
Hasil kajian mendapati projek ini berjaya dijadikan sebagai cadangan penyelesaian terhadap masalah cuaca panas yang membawa kepada peningkatan penggunaan tenaga. Rumah pintar ini merupakan satu cadangan dalam usaha membantu mengurangkan pembaziran tenaga melalui penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui dan kawalan automasi.