ASHWITH A/L KAMALAHASAN SJKT MASAI
Inovasi ini memaparkan kejayaan murid Program Pendidikan Khas Integrasi SJK (T) Masai yang merupakan murid autisme dengan masalah pertuturan, dalam menghasilkan Banana Bloom Foliar iaitu semburan organik serbaguna berasaskan kulit pisang dan air basuhan beras. Produk ini dibangunkan sebagai usaha menangani isu pencemaran alam sekitar dan pembaziran sisa dapur yang semakin membimbangkan di sekolah. Pendekatan ini bukan sahaja mesra alam, malah menggunakan konsep sifar kos, menjadikannya alternatif semula jadi kepada penggunaan baja kimia dalam penjagaan tanaman. Matlamat utama inovasi ini adalah untuk menyelidik manfaat kulit pisang dan air beras sebagai baja foliar dan agen penghalau serangga, di samping meningkatkan kesedaran murid, guru, dan komuniti sekolah terhadap kepentingan mengurus sisa dapur secara bijak. Kajian mendapati kebanyakan guru, murid dan pekerja kantin membuang sisa ini tanpa menyedari potensi manfaatnya. Justeru, intervensi ini diperkenalkan bagi membina budaya kitar semula dan tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam ekosistem sekolah. Banana Bloom Foliar dihasilkan melalui proses peraman kulit pisang dan air basuhan beras selama 2–3 hari. Larutan yang terhasil kaya dengan kalium dan mikronutrien yang merangsang pembungaan dan penghasilan buah tanaman seperti cili dan sayuran hijau seperti kangkung. Produk ini bebas bahan kimia, selamat digunakan di rumah, sekolah dan kebun serta sesuai dijadikan alternatif kepada baja komersial. Selain itu, murid turut dilatih memasarkan produk ini dalam jualan sekolah. Aktiviti ini membina kemahiran keusahawanan, komunikasi dan keyakinan diri. Sambutan daripada warga sekolah dan PIBG amat menggalakkan, menunjukkan potensi produk ini untuk dikembangkan sebagai produk hijau komuniti. Inovasi ini berjaya menyemai nilai kelestarian, memperkasakan murid autisme bermasalah pertuturan dan membentuk ekosistem pembelajaran yang lestari dan berimpak tinggi.